Wah, dah 1 Julai 2009. Nak buat entri ape yer? Errrmmm, ok, rasanya nak masukkan sajaklah. Sekurang-kurangnya boleh buat koleksi. Sajak ni adalah sajak saya yang telah tersiar di dalam Berita Harian pada 27 Mei 2007. Memang langsung tak sangka boleh tersiar. Itupun setelah diberitakan oleh seorang sahabat, Kak Bie. Dialah yang beria-ria memaklumkan kepada saya tentang sajak tersebut. Lagipun dia memang tahu saya ada menghantar sajak tu. Dapat info bab-bab tempat nak hantar hasil karya pun daripada dia. Terima kasih banyak-banyak Kak Bie. Lebih terharu lagi, Kak Bie simpan sajak ni..... :)


SUCINYA KASIH IBU

Seawal kandungan
beban digalas dengan reda
ke sana ke mari tanpa rungutan
senyuman masih terukir di bibir ibu.
Saat kelahiran kesakitan yang menjalar
ke seluruh urat nadi
bagaikan nyawa yang ingin disentak
dari badan
namun, pabila mata kuyu ibu
terpandang comelnya benih cinta
yang lahir
senyuman terus terukir di bibir ibu.
Rentetan pertumbuhan si buah hati
detik rehat yang tiada menentu
makan sekadar mengalas perut
kerana keperluan permata hati
yang dipertamakan
melihat keletah si kecil
senyuman berterusan terukir di bibir ibu.
Dewasa si anak
mengorak langkah pantas ke hadapan
memandu haluan sendiri
mengumpul segunung emas
menduduki takhta tertinggi
wajah tua ibu sudah tenggelam
jerih ibu tidak dihiraukan
malahan, ibu sendiri diabdikan
Namun, andai kembalinya si derhaka itu
sujud sembah di kaki ibu
penuh sesal atas musibah
senyuman tetap terukir di bibir ibu
walaupun dalam tangisan.