Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Untuk permulaannya ingin saya menceritakan bagaimana saya boleh terlibat di arena blog ni. Sebenarnya sudah lama kawan-kawan meminta saya membuat blog terutama apabila saya mengikut suami yang diposting ke US. Entah kenapa saya merasa kurang berminat untuk menulis blog buat masa itu sehinggalah beberapa hari lalu, suami saya ada mencadangkan agar saya memulakan penulisan blog ini. Sebelum ini suami saya memang sudah beberapa kali menyuarakan cadangan yang sama tapi saya yang belum terasa ingin mempunyai blog sendiri lagi. Saya sebenarnya lebih cenderung mengemaskini gambar-gambar terkini kami di dalam myphotoalbum. Tapi siapa sangka, lepas ini saya mula tidak dapat berenggang dengan blog saya ini.

Semalam saya sudah ingin memulakan agenda penulisan blog saya ini tetapi masih lagi tergendala. Ini disebabkan kerana saya tidak menjumpai lagi satu title yang saya berkenan di hati. Inilah akibat lama tidak mengarang. Sehinggalah pagi tadi, saya terlintas perkataan "Anugerah Yang Tidak Ternilai". Kenapa "Anugerah Yang Tidak Ternilai" menjadi pilihan saya? Banyak sebab dan luas pengertiannya. Pertama sekali saya ingin memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah Taala kerana melahirkan saya dalam keluarga Islam, dibekalkan anugerah iman (walaupun bergantung kepada amalan masing-masing).

Saya juga beruntung dianugerahkan keluarga yang penyanyang dan mengambil berat. Selain daripada itu, dalam kehidupan seharian, walaupun semua yang dilalui bukan seperti yang dirancang, kesudahannya pasti membawa kebaikan. saya bersyukur sangat, ke mana sahaja saya pergi, Allah temukan saya dengan orang yang baik, boleh dijadikan kawan dan ada yang boleh dibuat keluarga. Anugerah buat saya yang seterusnya adalah kehadiran suami saya sendiri. Bertuah saya kerana beliau merupakan suami yang pengasih dan sentiasa memberi sokongan kepada saya serta boleh menerima diri saya seadanya. Juga keluarga mertua yang baik-baik belaka. Teman-teman yang sentiasa ingat pada saya.

Terkini, antara "Anugerah Yang Tidak Ternilai" yang saya terima adalah kelahiran permata hati kami, Ahmad Kashful Hakimi bin Mohd Amiruddin. Kehadiran bayi ini benar-benar menggembirakan kami. Syukur pada-Mu, Ya Tuhan.

Sesungguhnya "Anugerah Yang Tidak Ternilai" adalah terlalu banyak dan tidak terhitung. Semoga saya menjadi hamba Allah yang sentiasa bersyukur dan ingat selalu pada-Nya.