Pantang oh Pantang


Hari ini adalah hari ke 35 saya berpantang. Tinggal lagi lima hari untuk cukup kepada 40 hari. Sekarang ini adalah dalam fasa menghitung hari untuk merdeka daripada pantang. Hari Ahad depan bolehlah saya celebrate...hehehe

Sebut mengenai pantang, kalau ingin dikenang memang sayu juga rasa di hati. Iyalah, ini kerana disebabkan hanya kami tiga beranak sahaja berada di perantauan. Kalau di kampung, pasti ramai ahli keluarga yang menolong serba serbi. Tapi, apabila direnung-renung kembali, saya amat bersyukur kerana Allah memberi kemudahan yang lain pula kepada saya sekeluarga. Bermula daripada hari saya mendaftar ke labour room sehingga ke hari ini. Semasa pendaftaran hari itu, sehingga keluar dari hospital (Inova Hospital - Women Center, Fairfax) segalanya diuruskan oleh kami (suamilah yang banyak ke hulu ke hilir). Selepas sahaja keluar dari hospital, dalam masa 11 hari sepanjang suami saya berada di rumah, pembantu rumah (kami panggil bibik) bos kepada suami datang ke rumah kami pada waktu siang. Pada waktu pagi, suami akan ambil bibik dan pada waktu petang baru dihantar pulang. Bukan setakat baby kami yang bibik mandikan, malah dengan saya sekali dia tolong mandikan. Selepas itu siap pakaikan bengkung lagi.

Pada mulanya saya agak pening juga memikirkan mengenai tukang urut selepas bersalin nanti, tapi Alhamdulillah, saya boleh bernafas lega disebabkan kerana ada seorang pembantu rumah salah seorang bos jabatan lain di sini yang pandai mengurut, siap boleh naikkan peranakan lagi. Dalam tempoh 40 hari ini, dia hanya mengurut badan sahaja, hari ke 40 nanti baru dinaikkan peranakan. Selain daripada itu, dia juga tolong buatkan saya air halia lagi. Kadang-kadang siap bawa lauk dan kuih-muih untuk saya. Siapa sangka, walaupun jauh di bumi orang, pertolongan Allah ada di merata-rata.

Apa yang buat saya paling terharu dan tersentuh adalah kesanggupan suami saya menjadi tukang masak untuk saya sepanjang tempoh saya berpantang ini. Setakat ini saya tidak pernah lagi memasak. Tiap-tiap hari sebelum beliau pergi kerja, beliau akan masakkan tumis sawi dan ikan panggang kepada saya. Ikan mackerel panggang yang dimasak oleh beliau sudah menjadi favourite saya apabila dimasak cara sebegitu. Sebelum ini saya sudah tidak berselera sangat dengan ikan mackerel kerana rasanya agak hanyir di tekak saya, tetapi apabila dipanggang sebegitu, berselera pula jadinya. Suami saya sekarang dah terror masak sotong, udang dan ikan masak merah. Kambing steam beliau pun best. Lepas ini saya bolehlah order pula dengan beliau, hehehe...

Sebenarnya kawan-kawan di sini ada yang selalu berpesan, sekiranya memerlukan apa-apa pertolongan, segera memberi tahu mereka. Kami bukan ingin menyombong tetapi selagi kami boleh menguruskan sendiri, kmi akan cuba selesaikan satu-satu perkara tu. Lagipun, memang menjadi kebiasaan kami untuk tidak menyusahkan orang lain.

Cetusan Rasa


Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Untuk permulaannya ingin saya menceritakan bagaimana saya boleh terlibat di arena blog ni. Sebenarnya sudah lama kawan-kawan meminta saya membuat blog terutama apabila saya mengikut suami yang diposting ke US. Entah kenapa saya merasa kurang berminat untuk menulis blog buat masa itu sehinggalah beberapa hari lalu, suami saya ada mencadangkan agar saya memulakan penulisan blog ini. Sebelum ini suami saya memang sudah beberapa kali menyuarakan cadangan yang sama tapi saya yang belum terasa ingin mempunyai blog sendiri lagi. Saya sebenarnya lebih cenderung mengemaskini gambar-gambar terkini kami di dalam myphotoalbum. Tapi siapa sangka, lepas ini saya mula tidak dapat berenggang dengan blog saya ini.

Semalam saya sudah ingin memulakan agenda penulisan blog saya ini tetapi masih lagi tergendala. Ini disebabkan kerana saya tidak menjumpai lagi satu title yang saya berkenan di hati. Inilah akibat lama tidak mengarang. Sehinggalah pagi tadi, saya terlintas perkataan "Anugerah Yang Tidak Ternilai". Kenapa "Anugerah Yang Tidak Ternilai" menjadi pilihan saya? Banyak sebab dan luas pengertiannya. Pertama sekali saya ingin memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah Taala kerana melahirkan saya dalam keluarga Islam, dibekalkan anugerah iman (walaupun bergantung kepada amalan masing-masing).

Saya juga beruntung dianugerahkan keluarga yang penyanyang dan mengambil berat. Selain daripada itu, dalam kehidupan seharian, walaupun semua yang dilalui bukan seperti yang dirancang, kesudahannya pasti membawa kebaikan. saya bersyukur sangat, ke mana sahaja saya pergi, Allah temukan saya dengan orang yang baik, boleh dijadikan kawan dan ada yang boleh dibuat keluarga. Anugerah buat saya yang seterusnya adalah kehadiran suami saya sendiri. Bertuah saya kerana beliau merupakan suami yang pengasih dan sentiasa memberi sokongan kepada saya serta boleh menerima diri saya seadanya. Juga keluarga mertua yang baik-baik belaka. Teman-teman yang sentiasa ingat pada saya.

Terkini, antara "Anugerah Yang Tidak Ternilai" yang saya terima adalah kelahiran permata hati kami, Ahmad Kashful Hakimi bin Mohd Amiruddin. Kehadiran bayi ini benar-benar menggembirakan kami. Syukur pada-Mu, Ya Tuhan.

Sesungguhnya "Anugerah Yang Tidak Ternilai" adalah terlalu banyak dan tidak terhitung. Semoga saya menjadi hamba Allah yang sentiasa bersyukur dan ingat selalu pada-Nya.

My Little Baby Boy

Lilypie

My Lovely Fish

Bubbles